Daily Archives: 12/05/2008

KALIMAH ALLAH : BUKAN BERMAKNA ‘GOD’ SEMATA-MATA

Standard

KALIMAH ALLAH : BUKAN BERMAKNA ‘GOD’ SEMATA-MATA

Umum mengetahui, sensitiviti umat Islam amat tersentuh apabila kalimah Allah seakan dipermainkan. Kalimah Allah yang termaktub berulang kali di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah itu sesuatu yang tidak pernah dipertikaikan oleh umat Islam. Ia digelar sebagai ism al-zat iaitu kata nama yang melambangkan secara langsung zat Allah SWT yang Maha Agung.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan bahawa nama Allah itu bersifat menyeluruh. Oleh itu dengan nama tersebut disandarkan seluruh nama-nama-Nya (al-Asma’ al-Husna) yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-A‘raf ayat 180:

“Dan bagi Allah, nama-nama yang Maha Baik”.

Bagaimanapun, tidak dinafikan sesetengah agama juga mendakwa kalimah Allah sebagai panggilan kepada nama tuhan mereka. Hal ini bukanlah sesuatu yang baru dan mengejutkan di dalam agama Islam. Malah al-Qur’an sendiri pernah merakamkan konflik ini sebagai iktibar dan pengajaran buat umat Islam dan bukan Islam.

Sebagai contoh, ketika surah al-Ikhlas diturunkan, ia membicarakan soal konflik tentang siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan oleh agama-agama lain itu. Adakah ia tepat dan benar dengan konsep “Allah” sebagaimana yang digelar dan dipanggil oleh mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata ‘Ikrimah tentang perihal turunnya ayat ini. Berkata ‘Ikrimah: “Ketika orang Yahudi mengatakan: Kami menyembah ‘Uzair anak Allah. Orang Nasrani mengatakan: Kami menyembah al-Masih anak Allah. Majusi pula mengatakan: Kami menyembah matahari dan bulan. Orang musyrikin pula mengatakan: Kami menyembah berhala. Lalu Allah SWT menurunkan ke atas Rasulullah SAW surah al-Ikhlas yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhluk-Nya, Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagi-Nya sekutu”.

Tidak mengira apa jua agama, sekiranya mereka tidak mengerti dan mengenal siapa itu Allah? Apakah makna sebenar di sebalik nama itu? Jika itu semua tidak diketahui dan dimengerti, maka mereka sekali-kali tidak layak untuk menggunakan kalimah Allah. Bagi membincangkan lebih lanjut isu ini, penulis bentangkan di sini hujjah-hujjah yang menjelaskan apakah sebenarnya hakikat kalimah Allah SWT menurut pemikiran dan aqidah Islam. Apakah signifikannya Allah SWT menjadikan kalimah tersebut sebagai merujuk kepada zat-Nya Yang Maha Agung?

Kalimah Allah menurut satu pendapat yang lemah ialah kata nama yang kaku (jamid). Iaitu bukan berbentuk kata terbitan yang berasal daripada kata dasar

tertentu. Ini kerana sesuatu kata terbitan mesti mempunyai akar perkataannya yang tertentu. Sedangkan nama Allah SWT itu bersifat sediakala (qadim). Qadim pula ialah sesuatu yang tidak mempunyai unsur asas atau asal. Ia menyerupai kesemua kata-kata nama khas yang tidak mempunyai asal tertentu serta tidak mempunyai sebarang maksud di sebalik penamaannya.

2

Bagaimanapun pendapat yang benar, kata nama Allah itu ialah kata terbitan yang mempunyai kata dasar tertentu. Namun para ulama berbeza pandangan tentang asal kalimah Allah tersebut. Pendapat yang tepat ia berasal daripada kalimah alahaya’lahu- uluhatan-ilahatan-ilahiyyatan . Ia membawa maksud ‘abada-‘ibadatan iaitu menyembah dan penyembahan. Daripada timbangan (wazan) ini lahirnya kalimah ilah yang bermaksud ma’luh iaitu “yang disembah” (ma‘bud).

Berasaskan pendapat ini, Ibn ‘Abbas r.a. pernah berkata: “Allah yang memiliki (sifat) ketuhanan (al-ilahiyyah) dan kehambaan (al-‘ubudiyyah) ke atas seluruh makhluk- Nya”.

Di kalangan ahli nahu Arab termasyhur juga berpandangan sedemikian. Misalnya al- Kisa’i dan al-Farra’ mengatakan kalimah Allah itu berasal daripada kata al-ilah. Kemudian mereka membuang huruf hamzah dan menggabungkan (idgham) huruf lam yang pertama ke dalam huruf lam yang kedua. Kemudian terbentuk satu lam yang disabdukan (tasydid) dan dibaca dengan tebal dan berat.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula berkata: “Yang benar, kalimah Allah ialah kata yang mempunyai asal, di mana asal katanya ialah al-ilah. Ini sebagaimana pendapat ahli bahasa terkenal Sibawaih dan majoriti sahabatnya kecuali beberapa orang yang berpendapat meragukan (tanpa sebarang asas). Lafaz Allah mencakup seluruh makna al-Asma’ al-Husna dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi.

Orang yang mengatakan bahawa ia adalah kata terbitan, mereka mahu

menunjukkan kalimah Allah itu mengandungi makna sifat bagi Allah SWT. Iaitu alilahiyyah (ketuhanan) sebagaimana al-Asma’ al-Husna yang lainnya seperti al-Basir (Maha Melihat), al-Sami‘ (Maha Mendengar), al-Qadir (Maha Berkuasa), al-‘Alim (Maha Mengetahui) dan sebagainya.

Tidak diragukan lagi bahawa nama-nama ini merupakan terbitan daripada kata

dasarnya sedangkan nama-nama tersebut kekal bersifat qadim. Maksud nama-nama tersebut ialah kata terbitan, iaitu dari segi lafaz dan maknanya yang bertemu dengan kata-kata dasarnya. Bukan bererti nama atau sifat itu lahir seumpama lahirnya cabang daripada asal. Penamaan ahli nahu terhadap kata dasar dan kata terbitan itu dengan asal dan cabang bukan bermaksud salah satu daripada keduanya lahir daripada yang lain, tetapi ia memberi makna salah satu daripada keduanya mengandungi yang lain malah terdapat penambahan”.

Abu Ja’far ibn Jarir pula mengatakan: “Lafaz Allah itu berasal daripada kata al ilah.

Kemudian hamzahnya yang merupakan fa’ al-ism (iaitu sebutan dalam ilmu saraf bagi hamzah yang ada pada kata ilah, kerana wazan atau timbangan kata ilah adalah fi‘alun) digugurkan atau dibuang. Kemudian huruf lam yang merupakan ‘ain al-ism bertemu dengan lam tambahan yang barisnya mati, lalu masing-masing digabungkan kepada yang lain.

Maka kedua-duanya menjadi satu lam yang disabdukan. Manakala takwilan (tafsiran) kalimah Allah pula ianya berasaskan apa yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a. bahawa “Dia lah (Allah) yang mempertuhankan-Nya segala sesuatu (ya’lahuhu kullu syai’in), dan yang disembahi oleh seluruh makhluk (ya‘buduhu kullu khalqin)”.

3

Diriwayatkan juga sebuah hadith daripada Abu Sa‘id secara marfu‘: “Bahawa Isa diserahkan oleh ibunya kepada seorang pengajar agar dapat mengajarnya menulis. Lalu si pengajar berkata kepadanya: Tulislah dengan nama Allah. Isa berkata: Tahukah kamu siapa itu Allah? Allah ialah Tuhan bagi segala yang dipertuhankan”.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam menerangkan keistimewaan nama Allah menyebut:

“Nama yang mulia ini memiliki sepuluh karakteristik lafaz…tentang karateristik maknawinya, makhluk Allah yang paling berilmu, iaitu Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak dapat memuji Engkau sepenuh dan sesempurna yang semestinya. Engkau sebagaimana Engkau memuji diri-Mu “(selesai sabda).

Ibn Qayyim kemudiannya menjelaskan lagi bahawa penamaan Allah itu menunjukkan bahawa Dia (Allah) adalah sebagai Yang dipertuhankan dan disembah. Dipertuhankan oleh semua makhluk dengan penuh kecintaan, pengagungan, ketundukan dan berlindung kepada-Nya dalam semua hajat dan musibah yang menimpa.

Inilah sebenarnya maksud di sebalik kalimah Allah SWT. Ia bukanlah satu kalimah yang sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata. Sebaliknya ia merupakan nama yang melambangkan aqidah atau agama bagi orang yang menggunakannya. Oleh itu penggunaannya amat wajar dipantau dan dipelihara oleh kerajaan demi memastikan tiada sesiapa yang terkeliru dengan nama Yang Maha Agung itu.

Oleh itu keputusan kerajaan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Islam, sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Oktober dan 1 November 2006 adalah amat bertepatan dan tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Malah penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah Warta PU (A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986.

-Sumber :

Caw. Aqidah

Bah. Penyelidikan JAKIM

Advertisements

Bila Muslim Berakal Pandir…….

Standard


Muhammad Ibnu ‘Az0 comments Links to this post

Tuesday, March 11, 2008

Assalamu’alaikum warahmatullah dan selamat sejahtera buat semua pengunjung. Agak lama saya tidak menulis di sini. Tergerak hati atas rasa sedikit kecewa di atas kejatuhan negeri tempat tumpah darah kepada satu pihak yang pernah dengan terang dan jelas pernah mengeluarkan kenyataan ini : ‘Langkah mayat saya dahulu sebelum mendirikan negara Islam!“. Tetapi perasaan itu sedikit terubat apabila menyaksikan bahawa beberapa negeri lain kini dikuasai oleh mereka yang bercita-cita dan berazam untuk mengamalkan dasar pemerintahan Islam dan sekaligus memberikan satu tamparan kuat kepada mereka yang selama ini terlalu alpa dalam mengejar kemewahan serta kedudukan dan pangkat. Kelemahan pentadbiran dibawah pemerintahan sebelum ini membuka ruang dan gelombang bagi dipermudahkan jalan sokongan dari pihak-pihak yang selama ini memandang Islam dan gerakan politik berteraskannya dengan pandangan prejudis. Mereka kini mula mengubah haluan dan memberikan kepercayaan yang dahulunya tersimpan akibat ditakut-takutkan pihak lawan. Saudara ABJ menghantar satu sms yang segera mengingatkan saya kepada satu firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran ayat 140 :

……….Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Kepada yang menang dalam perebutan kuasa dan amanah ini, ingatlah setiap amanah itu akan ditanyakan diakhirat kelak. Semoga Allah bersama-sama dengan mereka yang bercita-cita untuk menjalankan amanah kuasa ini kerana Allah semata-mata dan kerana ingin menegakkan agama Allah dimukabumi bertuah ini dan kerana ingin berfungsi sebagai khalifah Allah dimukabumi ini. Kepada yang kalah hasil dari percaturan gerak kerja yang dianggap silap, ingatlah bahawa semua ini merupakan kehendak Allah sepertimana yang disebut dalam surah Ali Imran ayat 140 tadi. Ianya juga merupakan satu bentuk teguran dari rakyat serta golongan bawahan yang selama ini cuba menyuarakan kegelisahan dan ketidakpuasan rasa akibat dari tekanan serta bebanan yang mereka tanggung selama ini. Bagi yang bijak dan bertanggungjawab, mereka akan menilai semula semua dasar, cara dan tindakan mereka selama ini. Mereka akan mengambil pengajaran di atas apa yang berlaku dan kemudiannya akan cuba memperbetulkan kembali keadaan supaya segala apa yang cuba dicaturkan pada masa hadapan akan memenuhi semua kehendak amanah yang dipikul atas jalan yang diredhai Allah s.w.t.

Seorang penulis dan ahli politik Italy, Niccolò Machiavelli, pernah menulis dalam bukunya The Prince (1532), mempromosikan satu method jalan usaha yang meletakkan matlamat itu harus dicapai tidak kira dengan apa cara jalan sekalipun. Kita sebagai Muslim tidak boleh sama sekali menggunakan method ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ ala-ala Machiavelli ini kerana sesungguhnya terdapat banyak larangan yang jelas dalam Al Qur’an dan sunnah Rasulullah s.a.w. yang menyatakan larangan kepada kita daripada mengambil golongan yang memerangi Islam sebagai kawan apatah lagi pemimpin. Tetapi amat mengecewakan di dalam usaha kita cuba menguatkan jalan serta usaha kita dalam menuju ke arah pemerintahan berdasarkan perlembagaan Al Qur’an dan Islam, kita terpalit dengan kekeliruan hebat yang menyaksikan sebuah parti yang secara terang-terangan menentang Islam dan pelaksanaannya di sini lama semenjak dulu, disambut kemengangan mereka dengan Takbir seolah-olah mereka itulah mujahidin yang akan membantu kita nanti.

Rasulullah s.a.w. tidak pernah membenarkan mana-mana pihak yang bukan Islam untuk turut sama dalam perang sepertimana yang dicatatkan dalam beberapa hadis. Hanya setelah pejuang tersebut yang pada mulanya menawarkan diri untuk berperang bersama baginda mengucapkan dua kalimah syahadah, barulah baginda membenarkannya untuk turut sama dalam perjuangan tersebut.

Saya tidak mahu menulis banyak tentang politik kerana di dalamnya terdapat ketaksuban yang hanya mewarnakan dunia sekeliling mereka sebagai putih dan hitam. Tiada kelabu bagi golongan yang taksub ini. Pandangan yang tidak bersesuaian seringkali dihamburkan dengan kata-kata kesat dan tohmahan yang tidak langsung bersandarkan kepada hujah yang benar. Inilah masalah ketaksuban, sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri menerima teguran dan pendapat hatta dari golongan wanita itu sendiri. Saya percaya pada lapis kepimpinan ulama’, mereka merupakan satu golongan yang terbuka kepada pendapat dan hujah, tetapi masalahnya ialah dengan golongan ikut-ikutan, yang mana Islam belum lagi tertegak dalam diri mereka. Rukunnya berterabur dengan empat dari lima tiangnya hancur. Akibat dari tindakan membuta tuli inilah, akhirnya negeri tempat tumpah darah saya jatuh ke tangan ‘golongan ini’ dan mereka ini dengan terang-terangan menolak untuk bekerjasama dengan pihak yang cuba bersungguh-sungguh menegakkan Islam.

Tetapi segalanya yang berlaku adalah dibawah perancangan Allah, sepertimana yang dikatakan oleh bapa saya bahawa apa yang berlaku ini ada hikmahnya yang belum dipertunjukkan lagi. Ianya sebagai satu bentuk assessment kepada semua dalam menilai mutu kerja serta tanggungjawab dalam menjalankan amanah yang sebelum ini dipertanggungjawabkan. Sehingga ke masa dimana secara terang-terangan mereka ini dengan jelas sekali lagi membuat perkara-perkara yang menujukkan bahawa mereka ini membenci Islam, maka sehingga ke saat itu kita seharusnya sentiasa peka, bersedia dan berhati-hati.

Sebagai penutup saya ingin kita semua membaca dan memahami surah Al Mumtahanah yang diwahyukan Allah sebagai pengajaran dan peringatan kepada kita sebagai orang-orang Islam. Apalah guna menjadi peringatan jika yang cuba diperingatkan itu langsung tidak mengambil peduli. Atas dasar keinginan yang mendalam dalam memastikan cita-cita setiap mukmin untuk hidup dibawah perlembagaan Al Qur’an dan Sunnah tercapai dan tidak dirompak jalan perjuangannya oleh golongan yang menentang jalan tersebut, sama-samalah kita merenung terjemahan sebahagian surah ini :

Al Mumtahanah ayat 1 – 9

1. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.

2. Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka).

3. Kaum kerabat kamu dan anak-anak kamu (yang tidak menurut kamu beriman) tidak sekali-kali akan mendatangkan sebarang faedah kepada kamu pada hari kiamat; Allah akan memisahkan di antara kamu semua (pada hari itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat segala yang kamu kerjakan.

4. Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata”, tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): “Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu”. (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!

5. “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

6. Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

7. Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.

8. Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

9. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Ambillah pengajaran dari peringatan ini agar kita tidak menyesal dengan tindakan yang tidak mendapat petunjuk. Sehingga maksima lima tahun lagi, warga Muslim Pulau Pinang seharusnya terus memerhati dan berhati-hati, kuatkan jemaah agar cita-cita yang satu tidak hancur akibat dari manusia muslim berfikiran pandir. Benar ‘kita’ menang, tapi hanyalah menang sorak dan kampung kita mungkin tergadai. Benar sebelum ini pun sudah digadaikan kampung kita oleh mala’un pengkhianat bangsa dan agama dan bola (ed-segolongan tertentu tahu apa yang dimaksudkan dengan bola ini, bagi yang lain, lupakanlah saja…. Ini hanya satu luahan dari hati yang kecewa melihatkan bangsa dimakan dan dipijak bangsa sendiri), tetapi tidak perlu sampai kita menggadaikannya sekali lagi kepada mala’un yang lebih besar dan buruk niatnya terhadap Islam. Menghijaukan yang merah atas dasar benci membuta tuli hanya merugikan perjuangan dan matlamat asal. Apakah ini hasilnya daripada dasar yang cuba mengangkasakan bangsa sehinggakan tumbuh roket dimerata-rata? Bangunlah dari tidur dan mamai! Jangan kita juga turut tertidur sebagaimana tidurnya orang itu yang tidak bangun-bangun setelah ‘bom’ meletup bersebelahan telinganya. Dia tidak pekak tetapi dipekakkan oleh mereka yang tuli yang berada disekelilingnya. Ayuh kembali kita bersatu atas satu dasar perjuangan menuju redha Allah dan berfungsinya kita sebagai khalifah Allah di mukabumi ini. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui mengenai segala perancangan dan pelaksanaan tindakanNya bagi bumi kita yang tercinta ini. Semoga kita sentiasa aman, damai dan beriman kepadaNya. Wallahua’lam…..

-sumber-