Siyasah Syar’iyyah

Standard

Pengertian Siasah Dari Perspektif Bahasa ‘Arab

Siasah dalam bahasa ‘Arab berasal daripada perkataan “sasa” (ساس) atau “sawasa” (سوس) Dari segi bahasa, ia mempunyai pelbagai maksud dan pengertian. Ia adalah reformasi atau pengislahan dengan berbagai-bagai cara, seperti memberi tunjuk ajar, arahan, disiplin, suruhan dan larangan. Ia berpunca daripada kemampuan pemerintahan atau kepimpinan.

Pengertian Siasah Dari Perspektif Syara’ Perkataan siasah tidak disebutkan di dalam al-Quran, walaupun banyak hadith yang memperkatakan tentang pengertian siasah seperti di atas. Di dalam hadith ada diriwayatkan lafaz “siasah”. Sabda Nabi SAW:

كادت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء، كلما هلك نبي خلفه نبي …)) رواه البخاري ومسلم

Yang bermaksud: “Bani Israel nyaris para nabi memerintah mereka. Setiap kali mati seorang nabi, maka digantikan dengan nabi yang lain..” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Jelaslah di sini bahawa perkataan siasah di dalam syara’ digunakan seperti mana takrifan bahasanya. Jadi ia bermaksud: Perkara yang dilakukan pemerintah atau pemimpin terhadap rakyat, yang bermanfaat, baik, dan berguna untuk mereka samada ia adalah berbentuk suruhan, larangan, tunjuk ajar dan disiplin. Takrifan ini jelas menunjukkan sudut praktikal siasah. Siasah di sini adalah segala urusan, kerja dan tindakan pengislahan.

Skop Siasah Pada Pandangan Fuqaha

Mereka mempunyai dua pendapat mengenai skop siasah, iaitu:

1.  Segala tindakan atau perbuatan yang mendekatkan manusia kepada kebaikan (maslahah) dan menjauhkan mereka keburukan (mafsadah). Walaupun ia tidak disyariatkan oleh Rasulullah SAW dan wahyu tidak memperkatakan tentangnya. Selagi mana ia tidak bertentangan dengan syara’.

2.  Dalam lingkungan bab jenayah dan hukuman berat. Bahkan sama maknanya dengan ta’zir. Ini merupakan pandangan kebanyakan fuqaha Mazhab Hanafi. Skopnya lebih sempit berbanding dengan pandangan pertama.

Siasah Syar’iyyah

Siasah berdasarkan sumbernya, terbahagi kepada dua bahagian utama: Siasah Diniyyah dan Siasah ‘Aqliyyah. Ibn Khaldun menerangkan perkara ini ketika mana dia memperkatakan tentang keperluan wujudnya kanun-kanun siasah yang menjadi kata pemutus (qawanin siasah mafrudhoh) di dalam negara yang diterima pakai oleh semua. Katanya: “Sekiranya kanun perundangan ini diputuskan oleh golongan bijak pandai dan pembesar-pembesar negara serta cendiakawannya, maka ia adalah Siasah ‘Aqliyyah. Sekiranya ia merupakan perintah daripada Allah dengan syari’at yang diputuskan dan disyari’atkannya, maka ia adalah Siasah Diniyyah”.

Bertitik tolak daripada pembahagian Ibnu Khaldun terhadap siasah ini, dia menerangkan jenis-jenis Nizam Siasi yang ada. Dia menyebut: “Kerajaan Siasi: Ia memimpin rakyat berdasarkan pandangan akal dalam memperoleh kebaikan duniawi dan menolak keburukan. Khilafah: Ia memimpin rakyat berdasarkan pandangan syara’ dalam kebaikan ukhrawi dan duniawi yang menuju ke arah ukhrawi”.

Jelas di dalam kata-kata Ibnu Khaldun mengenai kanun perundangan siasah, aspek piawaian siasah dengan menyifatkannya sebagai penggubalan undang-undang yang memerintah. Pembicaraannya ini hampir menyerupai pembicaraan “Al-Ahkam As-Sultoniyyah”. Oleh itu, siasah mempunyai dua aspek: aspek piawaian yang menyeluruh dan aspek pelaksaan dan ‘amali. Maka Siasah Syar’iyyah itu menjaga dua aspek ini. Malah ia terikat dengannya dan tidak terkeluar sama sekali.

Ternyata perkataan siasah sebelum ini tidak digabungkan bersama dengan perkataan syar’iyyah, kerana siasah itu bermaksud pengislahan. Malahan pengislahan yang sebenar tidak akan berlaku melainkan dengan syara’. Apabila para pemerintah tidak lagi memahami siasah Rasulullah SAW dalam pemerintahan, serta siasah mereka menyalahi syara’, maka timbullah istilah Siasah Syar’iyyah. Ia bertujuan untuk membezakannya dengan siasah yang zalim. Ia juga dinamakan dengan Siasah ‘Adilah. Perkara ini dapat diperhatikan melalui tulisan Ibn Taymiyyah dan Ibn Al-Qayyim.

Fiqh Siasah Syar’iyyah

Seterusnya para ‘ulama menggariskan permasalahan yang berkaitan dengan Siasah Syar’iah kepada dua kategori, iaitu:

Pertama : Masalah yang mempunyai nas-nas syar’ie tentangnya.

Kedua : Masalah yang tidak mempunyai nas-nas syar’ie yang khusus mengenainya.

Permasalahan pertama dapat difahami melalui:

1. Pemahaman nas-nas syar’ie dengan kefahaman yang baik, mengetahui petunjuk-petujuknya, memerhatikan syarat-syarat yang diperlukan untuk melaksanakan hukum serta yang halangan-halangan yang menghalang perlaksanaannya.

2. Perbezaan di antara nas-nas tasyri’ umum yang meliputi setiap masa dan tempat – ini adalah asas utama nas-nas syar’ie – dengan nas-nas yang hukum-hukum di dalamnya mempunyai sebab (‘illah) tertentu, terikat dengan sifat tertentu, atau yang meraikan ‘uruf pada zaman tasyri’ dan sebagainya. Sebagai contoh, perkara ini dapat dilihat dalam tindakan ‘Umar ibn Al-Khattab melarang memberi bahagian zakat muallaf, kerana sifat ini telah hilang daripada mereka. Sebelum ini mereka diberi bahagian mereka kerana sifat ini, bukan kerana diri mereka.

Permasalahan kedua pula dapat difahami melalui cara Ijtihad yang matlamatnya adalah menjamin masoleh dan mengelak mafasid. Ijtihad di sini bukan memperoleh apa yang disangkakan masoleh atau mengelak apa yang disangkakan mafasid. Bahkan ia terperinci dengan penelitian Ijtihad yang betul, iaitu:

1. Ijtihad perlu berjalan berdasarkan maqosid syar’iyyah bagi menjamin maqosid dan mengekalkannya.

2. Tidak bercanggah dengan dalil-dalil syara’ yang terperinci (tafsiliyah), kerana tidak wujud sama sekali maslahah yang bercanggah dengan dalil syara’. Walaupun ia nampak seolah-olah baik berdasarkan akal dan pandangan manusia.

Kedua-dua permasalahan ini, terutamanya pada zaman kini, memerlukan kepada penubuhan insititusi-institusi atau suruhanjaya-suruhanjaya yang bertanggung jawab ke atas perlaksaannya agar ia berjalan dengan baik dan cemerlang. Penubuhan institusi-institusi ini agar bersesuaian dengan maqasid syar’iyyah dan tidak bercanggah dengan nas-nas syara’ yang terperinci, adalah salah satu daripada Siasah Syar’iyyah. Ijtihad dalam permasalahan Siasah Syar’iyyah berkemungkinan menimbulkan hukum-hukum ijtihadiyah yang baru selari dengan perubahan zaman untuk kebaikan manusia, atau menafikan hukum-hukum ijtihadiyah yang lama, sekiranya ia tidak lagi mendatangkan kebaikan atau menyebabkan kemudharatan atau tidak lagi bersesuaian dengan perubahan zaman. Atau hukum-hukum ijtihadiyah yang baru lebih mendatangkan manfaat dan mengelak kemudharatan.

Siasah Syar’iyyah Dan Nizom Siasi

Skop Siasah Syar’iyyah yang luas dan banyak ini menyebabkan ia seolah-olah sama dengan Nizom Siasi. Walhal Nizom Siasi itu adalah sebahagian daripada Siasah Syar’iyyah. Nizom Siasi, atau Al-Ahkam As-Sultoniyyah, perbahasan dan perlaksanaannya secara praktikal, usaha untuk menubuhkan institusi-institusinya serta perletakan sistem dan strukturnya, menjadikannya sangat penting. Ini menyebabkan sesetengah ‘ulama masa kini menyamakannya dengan siasah Syar’iyyah. Sedangkan skop perbahasan Siasah Syar’iyyah lebih luas daripada itu. Menjawab tohmahan dan tuduhan yang timbul mengenai Siasah Syar’iyyah, serta penjelasan tentang sistem yang bertentangan dengan sistem Islam; kesalahan dan keburukannya, adalah termasuk di dalam ilmu Siasah Syar’iyyah.

Kesimpulan

Berdasarkan apa yang telah kita perkatakan sebelum ini, wajib ke atas faqih dan orang yang mendalami perkara ini memerhatikan beberapa perkara iaitu:

1. Benar-benar mengetahui dan memahami bahawa syariah sangat menitik beratkan maslahah duniawi dan ukhrawi, secara menyeluruh dan sempurna termasuk maslahah dalaman dan luaran, ini berdasarkan firman Allah swt:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُم

Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu(al-maidah:3)

2. Menelaah nas-nas syara’ secara meluas dan memahaminya terutamanya nas-nas yang menunjukkan siasah ilahiah dan nabawiyyah.

3. Pengetahuan yang luas dan mendalam tentang maqasid syar’iyyah yang dibina di atas kaedah “membawa kebaikan duniawi dan ukhrawi dan menolak kemudharatan”.

4. Perbezaan di antara syar’iyyah yang berbentuk kulliah dan tidak berubah dengan perubahan zaman, dan siasah juziah yang mengikut maslahah serta terikat dan berubah dengan perubahan masa dan tempat.

5. Pengetahuan dan pengalaman tentang keadaan semasa serta memahaminya dengan mendalam dan terperinci, berkemampuan mengaitkan keadaan semasa dengan dalil-dalil syar’ie.

6. Mempelajari siasah syariah pada zaman khulafa’ ar-rasyidin dan memahaminya.

7. Mengetahui bahawa ijtihad dalam siasah syar’iyyah bukan hanya sekadar apa yang digambarkan oleh akalnya sebagai maslahah  tetapi terikat dengan maslahah-maslahah yang diperakui oleh syara’.8. Golongan yang berkecimpung dalam bidang ini perlu memiliki sifat rahmat antara satu sama lain ketika berbeza pendapat dalam ijtihad.

Olahan daripada artikel siasah syariah ta’rif dan ta’sil oleh muhammad bin syakir asy-syarif. (http://saaid.net/Doat/alsharef/ms.htm)

* Lalu, seharusnya dengan berlandaskan prinsip siyasah syar’iyyah itulah kita seharusnya membina negara… bukannya prinsip itu yang seharusnya mengikut dasar negara yang ingin dibina… yang sebenarnya kita jelas dengan pembinaannya hanya mengikut hawa nafsu dan berlandaskan keinginan semata-mata… Prinsip siyasah syar’iyyah Itulah sebenar-benar negara Islam… bukanlah negara Islam hanya pada nama… Bermula dengan dasar inilah yang akan membawa kita kearah gagasan ketamadunan Islam yang telah sekian lama runtuh… Tamadun yang dahulunya gah dengan keilmuwan dan teknologi juga keintelektualan yang dibina… Rujuk slide dibawah:

Wallahu’alam…

Akan datang…

Mobilisasi Ketamadunan : “pembangunan teknologi, seiring pembangunan minda dan Ruh Islami” ….semoga Allah memberi kelapangan untuk menyiapkan artikel ini…

Advertisements

About qatrunnada

"Allahu Ghoyatuna, ar-Rasul Qudwatuna, al-Quran Dusturuna, al-Jihad sabiluna, al Mautu fi sabilillah asma' a'malina..." maksudnya: "Allah adalah tujuan kami, Rasulullah teladan kami, al-Qur'an pedoman hidup kami, Jihad adalah jalan juang kami, mati di jalan Allah adalah cita2 kami tertinggi..." Jika hari ini aku terlalu gembira.. Sedarkanlah aku dengan amaran-amaran Allah.. Jika aku bersedih tanpa kata.. Pujuklah aku dengan zikir Pencipta.. Jika aku lemah tak bermaya.. Ingatkanlah aku dengan kehebatan syurga.. Jika antara kita ada tembok yang memisahkan.. Ajaklah aku meleraikan segera.. Jika pernah hatimu terluka.. luahkanlah agar aku berubah.. Dan.. Jika esok kulena tanpa terjaga.. Iringilah lenaku dengan kalungan doa... Berjanjilah Ukhwah Kita Untuk Selamanya... sesungguhnya manusia itu alpa.. selautan ilmu Allah, hanya setitik dimiliki.. namun, sang hamba tetap akur..semakin ilmu Tuhan itu diselami, semakin kecil dirasakan dirinya.. hanya hamba kepada Rabbul 'Izzati.. lantaran itu, sang hamba pantas memercikkan setitik imunya, agar dapat manusia lain merasai kedinginannya.. saling ingat mengingati.. nasihat menasihati...

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s