Daily Archives: 04/01/2010

Gelombang BORNEO…

Standard

PERMASALAHAN AIR LABUAN DIBAWA KE PUTRAJAYA


Keperitan yang dialami oleh mahasiswa Kampus Antarabangsa Labuan(KAL) terhadap masalah air selama satu semester akhirnya telah sampai di meja pihak pimpinan tertinggi kerajaan di Putrajaya. Atas inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Antarabangsa Labuan (MPP UMSKAL) satu memorandum dan kertas kerja cadangan telah dihantar terus ke pejabat Perdana Menteri (PM) Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak oleh wakil MPP UMSKAL oleh saudari Qatrun Nada Binti Mohd Latfi.

Memorandum, petisyen yang ditandatangani oleh 566 orang mahasiswa UMSKAL dan kertas cadangan ini telah dihantar ke Putrajaya pada 8 December 2009, bertujuan untuk menyuarakan masalah air yang di hadapi oleh mahasiswa KAL dan masyarakat Labuan. Delegasi ini telah mendapat sokongan dari pelbagai persatuan mahasiswa seluruh Malaysia. Antaranya Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM),Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia(GAMIS),Gerakan Demokratik belia dan pelajar Malaysia (DEMA),Pro-Mahasiswa, Markas siswa siswi Islam sabah dan Sarawak(MARSIS), dan Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional(MPMN).

Seramai 6 orang dibenarkan masuk menghantar memorandum tersebut. Antaranya Presiden MPMN Mohd Ridhuan Mohammad, Saudara Helman, Presiden GAMIS iaitu suadara Idris bin Mohd Yussoff, Timbalan Presiden GAMIS saudara Shazni Munir, Pengerusi SIGMA GAMIS saudari Fasihah bt Mohd Fauzi, dan wakil MPP UMSKAL saudari Qatrun Nada bt Mohd Latfi. Memorandum diserahkan kepada pegawai khas PM iaitu Encik Huzairi bin Zainal Abidin

Tindakan delegasi tersebut mendapat respon dari semua pihak termasuklah media massa dan pihak-pihak yang prihatin. Panggilan telefon juga tidak putus-putus diterima oleh saudari Qatrun Nada selepas beberapa jam penghantaran memorandum tersebut.

Penghantaran memorandum kepada Ketua Menteri Sabah juga telah diadakan serentak oleh Naib Presiden MPP UMSKAL saudara Mohd Abdillah bin Mat Lin ke pejabat menteri besar sabah pada tarikh yang sama sewaktu penghantaran delegasi ke Putrajaya dijalankan.


Rentetan dari penghantaran memorandum kepada pihak tertinggi kerajaan, mesyuarat bersama YAB Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Ketua Eksekutif Perbadanan Labuan, Penolong Bendahari kanan UMSKAL, Penolong pendaftar UMSKAL, ketua seksyen Kebajikan Pelajar UMSKAL, Penolong pengurus asrama kanan UMSKAL, Presiden MPPUMS, Setiausaha Agong MPPUMS, serta naib presiden dan exco kebajikan, kesihatan dan kemasyarakatan (3K) MPP UMSKAL telah diadakan pada 28 disembar 2009 bertempat di Grand Dorsett Hotel.

Natijah daripada penghantaran memorandum tersebut, satu mesyuarat khas bersama Jabatan Bekalan Air Labuan, Perbandaran Labuan, Perlembagaan dan Penyelengaraan UMS, JPP KAL, Penolong Kanan HEP serta naib presiden MPP UMSKAL dan Exco 3K telah diadakan 30 disember 2009 lalu. Hasilnya, kita telah dijanjikan beberapa penyelesaian jangka pendek terhadap isu air ini yang akan dilakukan sepanjang bulan januari 2010.

Presiden MPPUMS Saudara Azrul bin Ibrahim, dalam blog persendiriannya mengatakan bahawa beliau tidak menyokong tindakan saudari Qatrun Nada menghantar memorandum tersebut ke Putrajaya dan tindakan tersebut adalah tindakan individu dan bukannya tindakan bersama dari pihak MPPUMS. Kenyataan ini menjadi kontroversi yang sedang hangat dipersoal dan diperbincangkan di kalangan masyarakat kampus.

Saudari Qatrun Nada juga telah dimaklumkan bahawa beliau tidak tersenarai untuk menyertai delegasi MPP UMS ke Mesir atas alasan kekurangan bajet juga bagi meredakan keadaan. Selain itu, beliau juga turut diwar-warkan akan dikenakan tindakan tatatertib ekoran daripada tindakan beliau menghantar memorandum ke Putrajaya tanpa melalui pihak universiti.

Keprihatinan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (MPP UMSKAL) terhadap mahasiswa/i untuk menyuarakan dan mempertahankan hak mereka dengan membuat delegasi penghantaran memorandum dan kertas cadangan ke pejabat Perdana Menteri Malaysia (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya memakan diri mereka sendiri.

sumber : http://promahasiswa-umskal.blogspot.com/

Advertisements