Monthly Archives: November 2010

Nikah Khitbah…satu alternatif?!

Standard

Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas (zina) serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini, saya menyarankan satu program atau projek besar iaitu “Taysir az Ziwaj” dilaksanakan, khasnya oleh pihak berwajib.

Taysir Az Ziwaj ialah “Permudahkan Proses Perkahwinan” terutama kepada anak-anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan.

Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan (nafsu) syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul, benar dan baik.

Gejala seks bebas (zina) dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul, tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain. Sedang Islam menggalakkan perkahwinan (aqad nikah) agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal. Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah An-Nuur : Ayat 32)

Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas (zina). Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib (kerajaan) seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :

  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai-ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan

Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung.

Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad (Ijab Qabul)

Cuma bezanya ialah pasangan pengantin (suami isteri) tidak tinggal serumah dalam tempoh-tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :

  • Masih menuntut di kolej atau universiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga

Justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan (atas persetujuan bersama kedua-dua pihak) dan barangkali tinggal bersama keluarga masing-masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan di atas telah selesai dan mereka benar-benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

Kelebihan Nikah Gantung

Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, dating, study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram.

Andai berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah.

Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata-ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang. Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama. Akhirnya, jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara.

Penerimaan Masyarakat

Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab. Menurut amalan tersebut, sewaktu majlis pertunangan, ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah (halflun nikah) tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali (serumah) sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan (haflul Qiran). Terkadang tempoh itu (antara pertunangan dan perkahwinan) menjangkau tahun lamanya.

Dalam masyarakat Melayu, amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung. Ia pernah dikaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz, Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai “Suspended Marriage Contract” iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara.

Malah menurut Abdul Jalil Borhan, perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 (dalam bahagian 5) enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama’ ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun. Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

Apabila pasangan pengantin (nikah gantung) bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin (jima’/bersetubuh). Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material) . Berkait perkara ini, kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir) wajib dengan berlakunya aqad, maka selepas sahaja aqad nikah, suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya.

b] Pandangan jumhur ulama’ iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah ke tempat suami), boleh melakukan istimta’ (mengambil keseronokan) , jima’/bersetubuh , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya.

Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa ; bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku. Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama, maka tiada halangan dari segi hukum syara’ kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri, buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya.

Tegasnya saya sebutkan disini, terutama kepada pihak berkuasa agama, ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak-anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam. Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak, tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak-anak gadis dan teruna kita berpeleseran, bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan. Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar, murka Allah swt itulah yang paling ditakuti.

Sumber : http://episodeperjuangan.blogspot.com/

OLEH : USTAZ NASRUDIN HASAN, Monday, 23 August 2010

(Ustaz Nasrudin Hassan merupakan graduan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, beliau kini merupakan Pengarah Akademi Ar-Rasyidin yang berpusat di Kuantan, Pahang.)

Kita Ini Siapa…?!

Standard

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang…

Semalam di rumah, hadir seorang adik junior dari kampus. Banyak perkara yang diceritakannya dan diluahkannya dengan mengharap respon dan pandangan dari seniornya. Antara perkara yang menarik perhatian ana adalah mengenai permasalahan yang rata-ratanya berlaku yang sepatutnya tidak ada dalam diri seorang pejuang yang ingin membawa Islam. Itulah sifat ‘tunjuk perasaan’.

“Nurul, enti tengah handle program Sejambak Kasih kan?”

“Ye, kenapa?”

“Ana rasa bagus kamu buat ada majlis perasmian. Sebab kamu jemput penceramah terkenal kan?”

“Aii, kenape pulak tibe-tibe rajin bagi cadangan ni?”

“Takde, AJK protokol enti tanya ana aritu. Dia mintak ana tolong jelaskan dengan enti kenape perlunya buat majlis formal. Jadi  ana cakap la.”

“Hmm…terima kasih je la. Cadangan anda ditolak.”

“Enti ni kenape? Ana sekadar bagi cadangan. kenape respon enti begitu?”

“Huh, enti ni kan Ruhil, tak bole terima pandangan orang, jadi ana balas balik ape yang enti pernah buat dulu menolak pandangan.”

Situasi diatas banyak berlaku dikalangan sahabat-sahabat yang mana asam garam dalam rencah kehidupan dilalui bersama. Perasaan ingin membalas kembali apa yang telah orang lain lakukan yang menimbulkan ketidaksenangan hati kita adalah dipanggil dendam. Mungkin secara lembutnya atau kebiasaan ia dipanggil, “Eleeh..tunjuk perasaan le tu…”. Tapi perlu kita sedar, sebenarnya kita ingin membalas dendam kesumat yang ada dalam hati kita.

“Eh, enti. Macam mana dengan t-shirt labuh seragam kita tu?”

“Ana dah tempah, warna sama, ungu. Tapi, corak berbeza. Ingat tak kita ada 2 pilihan baju aritu? Satu yang kita pilih tu, dah habis stok, kene tunggu 2bulan lagi. Kita kan nak pakai hujung bulan ni dalam program? Jadi ana kata dengan supplier tu, takpelah pos yang jenis kedua kita pilih tu. Ok jugak kan?”

“apa ni enti? Kenapa tak bincang dulu?

“Aii, aritu kan dah bincang, kalo tak dapat yang satu, pilih yang satu lagi?”

“Alaa..ana mau yang design pertama tu! Suka hati je buat keputusan sendiri!”

“Allah..masalahnya, kalo kita ambil beberapa helai design pertama, dan beberapa helai design kedua, jumlahnya tak cukup 50helai, kita takkan dapat harga less.”

“Dah la, ana kecewa enti buat keputusan sendiri!”

Selepas perbincangan, si A terus tak mahu bercakap dengan si B. Tak mahu makan sekali macam biasa. Kalau boleh, tak mahu tengok muka pun.

Situasi diatas juga merupakan sebahagian dari ciri-ciri sifat orang yang tunjuk perasaan. Walaupun kita selalu gelar perbuatan itu tunjuk perasaan, tapi sebenarnya kita sedang menghukum. Akibat kesilapan orang, kita mudah sahaja menghukum disebabkan kita tidak dapat apa yang kita inginkan. Bukan itu sahaja, sikap sebegini turut berlaku sekiranya pendapat dilontar tak diterima. Mula tunjuk perasaan. Perancangan yang dirancang tak menjadi, terus mencari kesalahan orang.

Sebenarnya, lumrah kita bergerak kerja untuk Islam banyak ragam dan mehnah menghadapi orang disekeliling kita dan masalah yang mengintai kita merupakan perkara biasa yang menjadi pahit manis kehidupan sebenar yang harus kita lalui. Pandangan tidak diterima. Perancangan tidak berjalan dengan lancar. Kesilapan teknikal. Ikut kepala sendiri. Buat kerja sendiri. Buat keputusan sendiri. Melambatkan gerak kerja. Otak blurr. Muslimin/muslimat yang tak pandai-pandai paham. Kerja dua kali. Tak beradab. Kalau nak disebutkan semuanya disini, tak tau berapa muka surat diperlukan. Pendek kata, terlalu banyak perangai manusia yang perlu kita hadapi terutama dikalangan sahabat.

 

Itulah dia namanya kehidupan. Yang pastinya kita semua datang dari latar belakang yang berbeza. Tarbiyah kehidupan keluarga yang berbeza. Ujian yang berbeza. Pengalaman yang berbeza. Impian yang berbeza. Sudah tentu menghasilkan sifat dan sikap yang sangat berbeza.

Cuba kita renung kembali, kita ini siapa? Siapa kita ni didunia ni? Siapa Pencipta kita? Siapa kita untuk mendabik dada di bumi Allah? Kita kena ingat, langit dan bumi tidak menerima manusia yang angkuh dan sombong. Tiada siapa yang sempurna. Tiada siapa yang tidak pernah buat silap. Tiada siapa yang ingin perkara buruk berlaku. Tiada siapa yang ingin lihat Islam jatuh, apatah lagi mereka yang mengaku ingin membawa Islam.

Menjadi perkara biasa kesilapan berlaku walaupun kita tak mahukannya berlaku. Siapa kita untuk menghukum? Siapa kita? Siapa kita yang tidak mahu memaafkan? Layakkah kita untuk menghukum? Allah s.w.t tuhan pencipta alam semesta itu sendiri, yang satu-satunya mempunyai sifat yang Maha Sempurna, pun memaafkan. Apatah lagi kita? Siapa kita untuk menghukum orang lain?

Sakit hati, geram, marah, iri, dengki, semua memang fitrah. Sifat yang ada dalam diri manusia. Tapi elokkah kita biarkan sifat fitrah yang negatif itu menguasai diri? Tanpa mengawalnya… Elokkah begitu? Jika benar ingin membawa Islam, kawal diri dan sifat yang negatif yang menjadi fitrah manusia itu. Cuba untuk berada didalam kasut orang lain. Cuba untuk memandang melalui kacamata orang lain.

Sebagai insan yang mengaku ingin membawa Islam, perkara asas paling utama perlunya ada dalam diri setiap dari kita adalah akhlaq Islamiy. Perkara kedua barulah ilmu. Jika kita telusuri keindahan akhlaq Rasulullah s.a.w sehingga digelar ‘Al-Amin’, kita pasti jadi malu dengan diri sendiri. Saidatina Aisyah pernah meriwayatkan, “Akhlaqul Rasul hiya akhlaqul Quran”. “Akhlaq Rasulullah adalah akhlaq Al-Quran”. (Riwayat Muslim) Subhanallah…

“DEMI sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (al-Ahzab: 21)

Seorang pembawa panji Islam, tidak akan memberontak apabila keputusan tak didengar. Tak menengking apabila kehendak tidak tertunai. Yang ada hanya redha dan tawakal. Jika benar ada yang begitu, jangan mengaku sebagai pembawa panji Islam! Kerana, konsep qadha’ dan Qadar masih tak lepas. Kita tahu semua perkara yang berlaku adalah ketentuanNya, lalu mengapa kita mempersoal? Membangkitkan persoalan dan menegur bagi membuat penambahbaikan akan datang sangat penting. Jika demikian, bersuaralah untuk Islam! Tetapi, jika buat perangai dengan ‘tunjuk perasaan’, memberontak dan sebagainya, mahukah mengaku lagi sebagai pembawa panji Islam? Tak perlu… kerana kita hanya akan memalukan Islam itu sendiri. Adab sesama manusia kita tak pertimbangkan.

Sedangkan Rasulullah s.a.w pertama kalinya beliau dikenali dikalangan kaum Quraisy, bukanlah dek kerana ilmunya yang tinggi. Bukan juga kerana ma’rifat yang Allah beri sehingga digelar Al-Amin yakni ‘yang benar’. Akan tetapi, kerana akhlaqnya yang indah, serta kejujurannya Baginda disayangi sehingga baginda dipercayai untuk menentukan kedudukan Hajarul Aswad oleh kaumnya.

Maksud Sabda Rasulullah SAW :-

‘Demi Allah yang nyawaku dalam kekuatanNya! Tiada masuk syurga kecuali orang yang berakhlak mulia/baik”

‘Bahawa Allah mengelilingkan Agama Islam dengan akhlak/budi pekerti yang mulia dan amal perbuatan yang baik’

Mafhum Firman Allah SWT :

‘Sesungguhnya Allah memerintahkan supaya dijalankan keadilan dan berbuat kebaikan’ (Surah An-Nahl :90)

‘Maka dengan rahmat Allah, engkau (Muhammad) berlemah-lembut dengan mereka dan sekiranya engkau berkasar dan bengis/pemarah, tentulah mereka akan melarikan diri dari kelilingmu’

Untuk mencari seorang yang mempunyai akhlaq Rasulullah zaman sekarang ni memang susah. Tetapi sebenarnya kita boleh kearah itu. Sedikit demi sedikit mencontohi peribadinya. Cuma mahu atau tidak dan sedar atau tidak. Lalu, kita harus renung kembali, kita ini siapa?

Antara doa baginda yang masyhur (mengenai adab dan akhlaq mulia) :-

 

‘Ya Allah Ya Tuhanku, Perlihatkanlah kepadaku kebenaran itu kebenaran, lalu aku mengikutinya. Perlihatkanlah kepadaku kemungkaran dan anugerahilah aku menjauhkan diri daripadanya. Lindungilah aku daripada apa-apa yang meragukan lalu aku mengikuti hawa nafsuku, tanpa petunjuk dari Engkau. Jadikanlah hawa nafsuku patuh mentaatiMu. Ambillah kerelaan diri Engkau dari diriku kepada keafiatan. Dan tunjukkanlah aku kebenaran yang aku perselisihkan padanya, dengan keizinan Engkau. Sesungguhnya Engkau menunjukkan (jalan) siapa yang Engkau kehendaki atas jalan yang lurus’

Untuk pemurniannya, tak rugi kita berbuat kebaikan terhadap makhluq, hati tak sakit dan runsing, fikiran tak serabut, muka tak cepat berkedut (awet muda:-p), barang-barang tak berterbangan, dijanjikan oleh syurga lagi bagi orang yang berbuat kebajikan. Dan yang paling penting, orang bukan Islam tertarik dengan keikhlasan dan kesabaran kita yang tinggi, orang Islam yang lain pula akan lebih terasa ingin mendalami agama…Takbir!!!

Renungan untuk diri dan sahabat pembaca… insyaAllah…

Wallahualam…

 

 

Langkah Kaki Ini… ~~tahniah@takziah~~

Standard

Alhamdulillah…puji dan puja atas rahmat Allah jua… Tanpa disangka, alam kampus sedikit demi sedikit berarak meninggalkan bebannya dengan seribu satu kenangan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata… Mehnah Tribulasi kehidupan lalu yang menjanjikan kesengsaraan akan datang… “Aii.. negatifnya pemikiran akak nih!” kata seorang junior ana yang masih lagi menggalas tanggungjawab di kampus… “Jangan ko risau ba dik… ndak jgk kaka begitu selalu…”

UMSKAL… bila berfikir tentang hari yang bakal dilalui, hati berbisik, “Ya Allah.. apa tidakkah aku menyesal meninggalkan kampus? apa selesaikah sudah tanggungjawab dan amanah yang pernah tergalas..? hmm…” macam-macam yang bermain difikiran… Timbang tara pencapaian, memang memberat kepada banyak lagi yang tidak selesai… Namun, hati ini tetap terasa lega meninggalkan kampus… teringat firman Allah didalam kitabNya,

“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.” (Surah Al-Isra’,17:29)

Status ‘graduan’ yang seringkali mendapat pujian ucapan tahniah. Graduan diraikan dengan disusuli sebuah majlis yang besar untuk penyerahan ijazah oleh pihak universiti. Bukan sahaja pihak pentadbiran, malahan mahasiswa/I lainnya turut bersama membuat persiapan tersebut. Satu kampus meraikan. Keluarga terdekat, sahabat handai turut mencipta agenda untuk meraikan.

Sedar atau tidak, realiti bergelar graduan itu lebih kejam dari ucapan tahniah. Realiti menghadapi hidup yang sebenar turut bermula. Dengan bergelar graduan kita juga turut bergelar penganggur bertauliah! Mulalah bertebaran di muka bumi melelong segulung ijazah untuk diterima oleh mana-mana industri yang menawarkan pekerjaan. Pekerjaan yang diperoleh pastinya bukanlah bergaji tinggi walaupun memiliki segulung ijazah. Kerana rata-ratanya industri lebih menginginkan mereka yang berpengalaman. Jika tak diberi peluang, macam mana pengalaman diperoleh kan?!

Pendek kata, bergelar graduan disusuli dengan pikulan tanggungjawab yang semakin banyak. Satu tanggungjawab di kampus dilepaskan, sepuluh tanggungjawab yang menanti diluar. Rindu kenangan sewaktu di alam kampus yang hanya berfikir untuk belajar, berjuang, dan duit masuk pada masanya.

Tapi kini, bukan sahaja diri sendiri yang perlu difikir, malahan tanggungan keluarga turut tersenarai dalam barisan amanah yang wajib dipikul. Bukan itu sahaja, tanggungjawab terhadap masyarakat turut dipikul. Jiwa yang kental dan kesabaran yang tinggi sangat dibutuhkan. Apatah lagi pabila pengisian rohani sangat sukar diperoleh berbanding ketika di kampus. Lalu, kekuatan dari mana yang bisa digapai? Pastinya…..

“Dan janganlah kamu berasa lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, padahal kamulah paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran, 3:139)

Lantaran itu, ucapan tahniah atau takziah yang lebih serasi bagi mereka yang bergelar graduan?